Saturday, November 6, 2010

Seadanya Dia,Aku terima..~~



"Ya Allah...........," aku meraup mukaku  melihat kain baju yang terburai di lantai  ketika aku membuka pintu almari."Sumbat lagi kain baju!Pemalas sungguh nak melipat!" Rungutku perlahan lantas memungut kain baju yang terburai tadi,ku letak di atas katil.Bertimbun seperti gunung gayanya membuatkan aku yang belum lagi hilang rasa penat kini didatangi perasaan geram.Bukan sekali dua jadi begini sejak dua tahun berkahwin memang sudah begini!
      Aku menuruni anak tangga perlahan-lahan dan dari jauh sudah nampak kelibat isteriku di dapur yang sedang asyik menggoreng pisang untuk minum petang kami.Memang sedap makan pisang goreng petang-petang ni tambah-tambah kalau masih panas. Tahu saja dia seleraku pada petang ini.
     ''Abang,pisang goreng petang ni," ujarnya sambil terseyum girang ketika aku sudah menjengah ke dapur. "Emm" itu sahaja yang terpancul daripada bibirku sebab hati masih sakit mengingatkan kain baju yang bertimbun tidak dilipat lagi. Tambah geram lagi melihat kain baju tersebut disumbat sahaja ke dalam almari tanpa dilipat terlebih  dahulu.
      "Abang okey tak ni?Macam penat saja," tegur isteriku melihat mukaku yang cuba menahan geram.Ya!Memang aku tengah geram.
      "Penatlah tambah penat lagi tengok kain baju yang berlonggok tak berlipat tu," kataku padanya sambil menguyah  pisang goreng tersebut.Memang sedap kalah mak aku masak tapi oleh sebab hati tengah geram malas aku nak puji. Biar dia sedar dulu kesilapannya.Selama ni aku bagi peluang,aku yang lipatkan kain baju tapi takkan selamanya aku yang lipat?Takkan tak tahu lagi tugas sebagai seorang isteri?
       "Maaf sayang,tapi abangkan tahu sayang memang malas dan tak reti nak lipat kain baju.tak cantik baju yang sayang lipat tu nanti.Lagipun,abangkan yang selalu tolong lipatkan," katanya tersengih-sengih macam tak tahu dia buat salah.Angin aku!!
       "Sampai bila aku nak buat kerja macam tu?Tak tahu ke aku penat-penat kerja sampai petang?"Aku mengherdik isteriku buat kesekian kalinya. Isteriku nampak tergamam. Baru tahu macam mana aku marah kan sampai terus diam tak cakap apa-apa pun.Aku terus berlalu dari situ meninggalkan cawan kosong yang telah sudah habis pun aku hirup air nescafenya.
        Aku masuk ke bilik tidur kami pada malam itu dan ku lihat isteriku tengah melipat kain baju yang bertimbun tadi. "Hei,takkan lipat baju kemeja pun macam ni?" Tegurku dengan nada suara yang tinggi. "Kalau lipat baju macam tak ikhlas baik tak payah lipat.Tepi,biar aku yang lipat." Dia bingkas bangun dan berlalu menuju ke bilik air. Nak menangislah tu!Tu sajalah senjata perempuan nak mencairkan hati lelaki. Makin lama makin menyampah dengan isteri aku ni.Pemalasnya memang tahap gabanlah!Bukan setakat kain baju tak berlipat. Ni..bilik ni kalau aku tak kemas alamat memang boleh jadi tempat sarang tikuslah.Kalau almari tu tak disusun elok kain bajunya dah memang boleh jadi tempat kucing beranak.
       Tahun ini dah masuk tiga tahun usia perkahwinan kami tapi entahlah makin lama makin aku tak tahan hidup dengan dia. Sikap malas dia tu memang tak berubah. Pagi tadi aku yang ampai baju kat rumah tu.Kalau tunggu dia alamat malam tu baru dia nak ampai.Entahlah,walaupun dia tu pandai masak tapi kalau pemalas buat kerja rumah yang lain tak guna juga.
       Lama jugalah aku termenung  sehinggalah setiausahaku masuk mematikan lamunanku tadi. Seperti biasa,dia masuk untuk mengemas bilikku.Hatiku tiba-tiba berdetik sesuatu.
       "Abang nak kahwin lagi satu,"lancar sahaja tutur kataku pada isteriku. Yalah,buat apa nak takut-takut,sorok-sorok macam lelaki lain.Baru jantan namanya!
       "Kenapa?"Tenang sahaja isteriku ini. "Aku tak boleh hidup macam ni lagi.Aku dah banyak bagi kau peluang dalam tempoh tiga tahun ni.Tengoklah ruang tamu tu,bersepah-sepah dengan majalah yang kau baca,bilik ni dah tak reti-reti lagi kau nak kemas,"bebelku padanya.Dia mendengar tanpa mencelah seoatah kata pun.Pelik aku minah ni.
       "Sebab itu sahaja?"Tanya isteriku lagi. "Habis sebab apa lagi?Kau fikir ada ke suami yang tahan dengan sikap pemalas isterinya?" Aku bertanya padanya. Dia diam.Lama jugalah dia mendiamkan diri sebelum mengatur bicara yang seterusnya.
       "Sayang izinkan abang berkahwin lain jika itu alasan yang munasabah bagi abang," katanya degan penuh ketenangan membuatkan aku gembira tak terkira.Siapa tak gembira dapat berkahwin dengan gadis seperti setiausahaku itu.Dahla pandai mengemas,jaga makan minumku semasa aku di pejabat.Bonus lagi dia tu seksi!Gebu!Perghhh..
       Aku dan isteri baharuku sedang sibuk membuka hadiah yang kami perolehi semasa bersanding siang tadi.Banyak juga hadiah yang kami dapat.Almaklumlah aku kan ahli perniagaan yang agak terkenal juga di Malaysia ni. Aku tertarik hati untuk mengambil sepucuk surat berwarna merah jambu yang dari tadi tidak dibuka. Oh..isteri aku yang nombor satu bagi.Aku bacalah sampai habis tanpa sebarang perasaan pun.Penatlah nak baca surat panjang lebar ni.Merepek saja isteri aku ni.Aku letak saja dalam laci setelah selesai membacanya.
      "Surat daripada siapa tu you?"Tanya isteri baharuku. "Daripada madu you,"aku megusiknya lantas satu cubitan hinggap dilenganku. "Suka usik kita you ni," katanya dengan manja.Itu yang buat aku tambah-tambah sayang padanya.
       Lima bulan aku melayari bahtera rumah tangga kami dengan penuh bunga-bunga cinta tanpa sebarang sengeketa.Bahagianya aku!
       Rumah isteriku yang nombor satu seminggu sekali sahaja aku balik.Malas nak duduk lama-lama sebab bosan dengan perangainya yang masih sama.Tak macam isteri baharuku ini memang pandai mengemas dan pandai melawa untuk aku pula tu.Cuma dia ni tak  pandai masak tapi tak mengapa sebab duit aku banyak bungkus sajalah dari kedai.
      "You,i nak seribu," pinta bini baharuku. "Laa..dua hari lepas i dah bagi you lima ratus,mana pergi duit yang i bagi tu?" Aku bertanya padanya.Kalau tiap-tiap hari macam ni pokailah.
      "Dah habis buat shopping,"katanya selamba sahaja. Aku menggelengkan kepalaku nak tak nak kenalah bagi sebab sayangkan isteri yang lawa ni.Tiba-tiba aku teringat isteri aku yang nombor satu tu tak pernah langsung dia minta duit daripada aku.Kalau aku bagi, dia ambil kalau tak bagi tak adalah.Ya Allah..baru aku teringat dah setahun aku tak bagi nafkah dekat dia dan dua orang anak aku tu. kenapalah aku boleh lupa?
      "Hei,you ni tak reti ke nak cuci pinggan lepas makan?Tiap hari i yang kena buat!You ingat i ni kuli you ke?" herdiknya padaku. Sudah pandai meninggikan suara padaku kini. Bukannya penat pun buat kerja rumah lagipun dah tak berkerja. Aku berlalu daripada situ daripada terus mendengar caci maki yang dah biasa aku dengar sejak dua menjak ni.
       Dan sejak dua menjak ni,aku terkenang dekat isteri nombor satuku itu. Entah kenapalah aku nak banding bezakan dia dengan isteri baharuku itu.Dia tak pernah langsung nak marah dekat aku walaupun aku minta nak kahwin lagi satu. Isteri baharuku ini sudah pandai maki hamun aku sekarang ni. Aku bangun lambat pun salah,aku tak basuh pinggan pun salah.
      "You nak ke mana pagi-pagi ni?" Tanyaku melihatnya yang cepat-cepat mahu keluar dari rumah. "I nak jumpa kawanlah,takkan tak boleh?" Marahnya padaku bila ditanya begitu. Aku lagi marah kalau ya pun nak jumpa kawan tak kan pakai seksi sampai nak tunjuk semuanya kalau boleh. "Tak boleh pakai sopan sedikit ke?" Tanyaku lagi. "Sejak bila you kisah i pakai baju apa?" Dia menjawab semula tak mahu kalah. Aku terdiam lalu bingkas naik ke bilik.
       Aku masuk ke bilik tidur lagi baik.Tenang fikiran nanti.Masa aku baring-baring atas katil nak pejamkan mata tiba-tiba aku terpandang laci almari bilikku. Cepat-cepat aku bangun lalu ku buka laci itu. Hanya kosong melainkan sepucuk surat berwarna merah jambu yang sudah dua tahun berada di situ. Rasa macam nak baca semula isi kandungan surat tu.Lagipun dulu aku baca sekali imbas saja tak ingat pun apa yang ditulisnya....

       Assalamualaikum wahai suamiku yang selalu aku sayangi dan cintai,
       Selamat pengatin baharu Qis ucapkan pada abang dan madu Qis.Semoga abang gembira dengan perkahwinan kali ini. Qis minta maaf sebab Qis dengan anak-anak tak dapat datang majlis pernikahan dan persandingan abang dengan dia. Abang sendiri fahamkan walaupun Qis beri izin abang berkahwin lain tapi jauh disudut hati Qis seperti perempuan lain tak rela berkongsi kasih dengan orang lain.Qis manusia biasa abang,maafkan Qis..Namun dalam ruang hati yang kecil ini Qis sentiasa berdoa agar abang bahagia dengannya.
     Qis relakan abang berkahwin lain sebab Qis sedar yang Qis banyak kekurangan.Walaupun Qis pandai masak,tak pernah merajuk,tak pernah tinggikan suara atau marah-marah abang,tak pernah minta duit pada abang tapi Qis tetap juga serba kekurangan di mata abang.Hanya kerana Qis malas lipat baju dan kemas rumah. Abang kata Qis tak jalankan tanggungjawab Qis sebagai seorang isteri. Abang, Qis takkan kahwin dengan abang kalau Qis tak bersedia menggalas tanggungjawab Qis sebagai isteri.
     Abang,ingat tak sebelum abang melamar Qis?Bersungguh-sungguh Qis cakap Qis tak bersedia sebab Qis ni pemalas nak buat kerja rumah. Abang pujuk Qis dengan sungguh-sungguh juga,abang kata abang akan tolong Qis kemas rumah dan lipat baju. Abang kata suami isteri kena saling membantu sebab abang tak nak tengok Qis penat berkerja,balik rumah nak buat kerja rumah dengan layan anak-anak. Abang ingat tak lagi,bila Qis setuju abang cepat-cepat datang rumah jumpa mak dengan ayah Qis?Abang ingat tak lagi abang kena ceramah dengan ayah Qis?Ayah cakap sanggup tak terima anak dia yang pemalas sungguh buat kerja rumah?Lipat baju pun tak reti?Abang ingat tak lagi masa tu bang kata abang terima sayang seadanya? 
     Masa kita baharu bernikah,Qis ada juga usaha nak berubah. Qis lipat baju abang tapi abang kata dengan bergurau tak apalah biar abang lipat mulai hari ini .Qis lipat baju macam budak darjah satu lipat. Qis tak kecik hati pun malah Qis ketawa kuat-kuat sampai nak pecah perut tapi kenapa selepas dua tahun abang marah sangat dekat Qis  sebab tak pandai lipat baju. Abang kata Qis lipat tak ikhlas. Memang Qis sedih sangat-sangat  masa tu tapi paling Qis sedih sebab kenapalah Qis tak dapat gembirakan hati abang sekarang ni?
    Abang,Qis tak pernah  merungut pada abang walau abang suka letak saja pinggan,cawan abang lepas makan. Tak pernah pun abang nak basuh pinggan abang apatah lagi nak tolong sayang cuci periuk belanga kat dapur. Tapi Qis tak pernah pun  marah dekat abang.Abang pun banyak juga kekurangan tapi bagi Qis kekurangan abang melengkapkan hidup kita sebab itu kita berkahwin.Kekurangan abang memerlukan kelebihan sayang untuk jadikan rumah tangga kita ini sempurna. Begitu juga dengan kekurangan sayang yang tak pandai mengemas ni perlukan kelebihan abang yang pakar lipat baju tu.Barulah dinamakan hidup suami isteri saling melengkapi.
    Abang,Qis harap sangat Qis dapat jadi isteri yang menyenangkan di hati abang.Qis nak jadi isteri yang solehah yang taat pada perintah suami sebab itu Qis tak nak marah-marah abang,melawan cakap abang. Lagipun Qis tak sampai hati nak memaki hamun suami Qis sebab Qis sayang abang sangat-sangat. Qis juga sayang anak-anak kita sebab tu Qis tak pernah marah anak-anak kita. Qis tak nak abang terluka walau abang sekarang ni banyak menghiris hati Qis.
   Satu lagi, Qis masak dah tak sedap ke abang?Abang dah lama tak puji masakan sayang.Mungkin sebab itu juga abang kahwin dengan dia. Tentu dia lebih hebat daripada Qis kan.
   Qis bukan ungkit atau menujukkan yang abang bersalah tapi Qis harap selepas ini abang terimalah dia seadanya walau dua tahun nanti  abang dah tak tahan dengan kekurangan dia macam yang terjadi pada Qis..Qis sayangkan abang sampai bila-bila.Harap-harap abang tetap rindu pada Qis dan Qis harap sangat abang maafkan kesalahan Qis pada abang. Moga-moga Qis lah PENEMAN ABANG DI SYURGA NANTI..

Yang amat menyayangimu,
     Qistina

     Kali ini aku baca entah mengapa berjurai-jurai jatuh air mata lelakiku ini. Kenapa baru kini aku rasa menyesal?Kenapa bukan dua tahun yang dulu?Empat tahun aku biarkan Qis menderita. Bukankah aku dulu sanggup menerima segala kekurangannya kenapa tiba-tiba aku merungut? Sedangkan dia tak pernah merungut  apa-apa yang buruk tentang aku?Dia tak pernah langsung menyusahkan aku.Hal lipat baju tu pun, dulu memang aku yang setuju nak lipat.Ya Allah,kenapalah mudah sangat ku ikutkan hasutan syaitan yang mengapi-apikan perasaan aku masa tu? Sanggup aku marah dia,herdik dia.Betapa aku dah lukakan hati dia masa itu.Aku lupa janji aku selama ini pada dia.
   Kenapa baru aku sedar yang sebenarnya dia jauh lebih baik daripada Fikah tapi dia paling aku agung-agungkan. Qis tak pernah meninggikan suaranya apatah lagi nak merajuk sedangkan Fikah berani maki hamun padaku. Susah payah dia melahirkan zuriatku,menjaga dengan penuh kasih sayang tapi aku tetap lagi sayang pada Fikah yang tak mahu ada anak,katanya nanti badan tak lawa.Ada anak susah nak berdua.
    Sedangkan Qis yang tahu menjaga makan minumku,tahu-tahu sahaja seleraku nak makan apa setiap hari aku lagi cinta Fikah yang hanya menjamu aku dengan makanan yang dibeli di warung mamak sahaja.Fikah yang selalu berpakaian menjolok mata ketika keluar rumah yang aku kata lebih baik daripada  Qis yang sentiasa menjaga aurat dan pandangannya daripada dilihat lelaki hanya untuk tatapan aku sahaja.
    Ya Allah,selama ini memang aku buta menilai kebaikan..hanya kerana satu keburukan ku tutup segala pandanganku daripada melihat banyaknya kebaikan Qistina padaku.
     Tiba-tiba rindu dan cintaku yang dulu padanya hadir kembali...abang rindu sangat pada Qis sekarang ni...terlalu rindu..
    Aku melipat surat tersebut dengan rapi.Hajat di hati mahu bertemu dengan Qistina petang ni mahu memohon maaf atas kesilapanku lagipun tak ada siapa di rumah. Fikah yang keluar sejak pagi tadi masih tak nampak batang hidungnya. Tiba-tiba sahaja mahu menghadiahkannya sejambak bunga.
 
  
    Keluar dari kedai bunga sahaja aku nampak Fikah! Tapi siapa lelaki tu? Siap berpeluk-peluk lagi?? Apalah lagi dugaanku in ya Allah... Kalau ikutkan rasa nak terus bagi penampar sahaja tapi biarlah aku belajar daripada kesilapan dulu.Bersabar macam Qis bersabar dengan perangai aku.Mungkin ini satu balasan atas kesilapan yang telah aku buat pada Qis tapi mungkin juga jalan untuk aku hidup bahagia semula dengan Qis.
    Cepat-cepat aku memandu kereta mahu bertemu Qis yang kurindui saat ini. Qis terkejut melihat aku pulang tiba-tiba.Tak hairanlah dia terkejut sebab dah sebulan aku tak pulang ke rumah. Ku lihat dia masih cantik seperti dulu..
   "Ini untuk sayang," lembut tuturku sewaktu menyerahkan sejambak mawar putih padanya. Lalu aku berlalu meninggalkan dia sementara. Dia berasa hairan tapi dalam hatinya aku tahu dia terharu....
    Aku muncul semula, kali ini aku bawa bantal dan mendekatinya yang sedang duduk di sofa sejak dari tadi. Dia nampak kaget melihat aku membawa bantal ke ruang tamu.Mungkin dia fikir aku gila.Ya,aku gila padamu sayang..
   "Boleh abang baring dekat riba sayang?"Soalku padanya.Dia mengangguk diiringi senyum yang terukir diwajahnya. Aku meletakkan bantal di atas ribanya lalu ku sembah mukaku di atas bantal tersebut.Aku menangis perlahan biarlah tak nampak macho sekalipun yang penting hati aku terlalu menyesal.Menyesal!
    "Abang,abang ada masalah ke?Ceritalah pada Qis.Qis sedia dengar," katanya memujukku.Rambutku diusap perlahan-lahan.Susah untuk aku ceritakan padanya,susah nak gambarkan yang aku begitu sedih,bercampur geram dengan sikap Fikah dan rasa myesal atas kesilapan yang aku buat pada Qistina. Mungkinkah dia percaya aku sudah berubah?Mahukah dia menerima aku semula?
    "Sanggup dia buat abang macam ni,abang sayangkan dia tapi dia curang dengan abang,"kataku padanya.
    "Abang,jangan terburu-buru mengatakan dia curang,mana tahu cuma kawan," nasihatnya padaku.
    "Abang nampak sendiri siap berpeluk lagi,abang salah menilai.Abang minta maaf Qis, selama ini abang lukakan hati Qis. Abang musnahkan harapan Qis untuk hidup bahagia dengan abang," kataku dengan penuh penyesalan.
     "Abang,Qis bahagia dengan abang.Tak pernah pun Qis rasa tak bahagia hidup dengan abang," katanya penuh tenang seperti selalu.Pandai Qistina menyembunyikan segala rasa dukanya namun aku tahu dia tak bahagia,dia merana...
     "Sayang..maafkan abang..mulai hari ini abang nak hidup dengan sayag dan anak-anak kita saja.Abang tak nak orang lain lagi.Abang akan tinggalkan Fikah sebab dia curang dengan abang.Abang janji akan bahagiakan Qis sampai bila-bila,terimalah abang semula Qis..abang nak Qis berada di sisi abang mulai saat ini," rayuku sepenuh hati lalu bangun memandang wajahnya penuh mengharap.
     Matanya mengalih ke tempat lain.Dari dulu sehinggalah sekarang masih lagi rasa malu ditenung lama sebegitu.
     "Abang,abang masih suami Qis kan..abang masih dalam hati Qis,Qis masih sayang dan cintakan abang. Tak perlu abang merayu meminta untuk kembali pada sayang ," jawab Qis penuh tulus.Mudahnya kau memaafkan seseorang, sayang...mulianya dirimu.
    "Terima kasih sayang,abang janji abang tak akan ungkit lagi kekurangan sayang,abang takkan tinggalkan sayang.Abang mencintaimu sangat-sangat,"ucapku dengan penuh ikhlas.
    "Walau ruang tamu ni macam ni?" Dia menunjukkan ruang tamu yang masih seperti dulu bersepah-sepah dengan majalah yang dibacanya.
    "Abang akan tolong sayang kemaskan,"kataku lalu mencuit hidungnya.Merah padam mukanya.
    "Terima kasih sayang,"kataku dalam hati dan tiba-tiba sahaja televisyen rumahku ini mula menayangkan drama Adamaya.Patutlah memang waktu drama ni mula pun...aisey..perli sungguh lagu ini..tiba-tiba hati aku nak tanya,aku ni sesuai watak Adam ke ataupun Maya? =p

 
 Semenjak kau hadir dalam hidupku
 Tiada lagi keresahan
 Kau mengetuk pintu hatiku
 Tanpa sedar hingga ku izinkan

 Kau yang bernama cinta
 Kau yang memberi rasa
 Kau yang ilhamkan bahagia
 Hingga aku terasa indah

 Maaf jika ku tidak sempurna
 Tika bahagia mula menjelma
  Bila keyakinan datang merasa
  Kasih disalut dengan kejujuran

  Mencintai dirimu
  Merindui dirimu
  Memiliki dirimu
  Hingga akhir hayat bersama kamu

No comments:

Kita geng!!